UMRAH BackPacker
Berikut adalah jumlah perbelanjaan yang saya keluarkan untuk perjalanan umrah yang lepas,pada 17hb Januari sehingga 24hb Januari 2017.
1) Tiket Penerbangan
-Tiket penerbangan Kuala Lumpur-Jeddah-Kuala Lumpur mengikuti Malaysia Airlines dibeli pada 23 Ogos 2016; lebih kurang lima bulan sebelum tarikh penerbangan berharga (RM400.90)
2)Visa
-Antara perkara pertama yang terlintas di fikiran kita bila melakukan umrah tanpa pakej adalah visa. Bagaimana mahu melepasi imigresen Arab Saudi sekiranya tidak punya visa.
Saya ada tanyakan beberapa pakej umrah yang dikendalikan oleh beberapa syarikat di Kota Kinabalu,sekiranya mereka ada membuat perkhidmatan untuk pengurusan visa. Semua jawapan yang saya terima adalah sama. Perlu mengambil pakej umrah mereka untul disertakan sekali dengan pengurusan visa.
Syukur,saya mendapat maklumat menerusi perkongsian di Facebook bahawa ada perkhidmatan yang boleh mengurus pengurusan visa umrah. Saya buka 'Page Facebook' "Safar Buddies ". Saya berhubung dengan Encik Fakhrul.
Saya poskan buku passport,dua keping gambar ukuran visa, dan buku suntikan vaksin kepada beliau sebagai dokumen sokongan yang diperlukan.Saya telah mengepos pada 15hb Disember. Menurut Encik Fakhrul,urusan visa mengambil masa 7 hingga 10 hari.
Pada 30hb Disember 2016,saya mendapat mesej daripada Encik Fakhrul dengan ayat
"Visa Ready"
Siap beliau gambarkan lagi passport yang sudah terlekat visa padanya. Visa umrah hanya memberi tempoh selama 30 hari di Arab Saudi. Jadi,tarikh perjalanan kita ke Jeddah perlu dimaklumkan terperinci supaya visa adalah sah sepanjang keberadaan di Arab Saudi.
Ini merupakan perjalanan umrah saya kali pertama. Harga visa yang perlu dibayar adalah (RM350).
3)Vaksin Meningitis
- Ini antara keperluan yang dimestikan untuk ke Arab Saudi. Saya mengambil suntikan di Klinik Medisinar,Sepanggar pada 14hb Disember 2016. Vaksin ini bertahan untuk tempoh 5 tahun.
Sekiranya selepas ini,saya ingin melakukan umrah dalam tempoh 5 tahun mulai sekarang,saya tidak perlu mengbil lagi vaksin ini. Simpan saja buku rawatab yang diberikan. Harga vaksin adalah (RM160).
4)Gambar Visa
-Saya mengambil gambar ukuran umrah pada 15hb Disember 2016. Pesan pada jurugambar bahawa anda mahukan gambar ukuran umrah. Wajah adalah lebih besar sedikit pada gambar dan berlatar belakangkan warna putih. Mereka tahu ukurannya. Harga untuk empat keping gambar adalah (RM10)
5)Pos Laju
-Selesai sahaja bergambar, saya terus poskan dokumen kepada Encik Fakhrul yang beralamat di Nilai,Negeri Sembilan. Harga pos laju adalah (Rm10.50) dan dokumen saya sampai pada keesokan harinya
6)Tiket Penerbangan
-Disebabkan tiba di Jeddah pada 7.30 malam, kami bertiga sebulat suara untuk mengambil penerbangan dari Jeddah ke Madinah. Kebanyakan pakej umrah mengambil bas untuk ke Madinah. Disebabkan tempoh kami yang singkat di Arab Saudi dan perjalanan pula mengambil masa lebih kurang 6 jam daripada Jeddah,mengambil penerbangan lanjut adalah yang terbaik buat kami.
Cuma perlu berhati-hati sedikit bila ingin mendarat kerana di Lapangan Terbang King Abdul Aziz mempunyai 3 buah terminal yang berbeza; terminal umrah/haji, komersial, domestik. Agak jauh juga menaiki teksi daripada terminal umrah ke terminal domestik. Juga, perlu 'agresif' sedikit bila berhadapan dengan pemandu teksi/ pemandu persendirian untuk menetapkan harga sebelum menaiki kenderaan mereka.
Tapi, menaiki kapal terbang adalah pilihan masing-masing. Kalau berempat,boleh sahaja 'charter' teksi atau kenderaan persendirian ke Madinah ,selain daripada menaiki bas. Atau juga,boleh sahaja mengambil penerbangan langsung ke Madinah daripada Kuala Lumpur.
Tiket pulang-balik kami adalah melalui Jeddah dan situasi kami juga yang mahu menjimatkan masa perjalanan,menyebabkan kami mengambil penerbangan ke Madinah. Tiket penerbangan dibeli pada 23hb Disember 2016 menggunakan Saudi Arabian Airlines dengan harga (RM210)
7)Hotel
-Hotel ditempah pada 18hb Disember melalui Bookings.com.
Kami memilih untuk berada 3 malam di Madinah dan 4 malam di Mekah. Harga penginapan kami untuk bertiga adalah lebih kurang RM1500. Jadi,kira-kira RM500 untuk setiap orang bagi harga 7 malam.
8)Tiket Penerbangan
-Disebabkan saya seorang sahaja daripada Kota Kinabalu,jadi perbelanjaan saya lebih sedikit berbanding dua orang kawan yang tinggal di Kuala Lumpur.
Tiket penerbangan daripada Kota Kinabalu-Kuala Lumpur-Kota KinabaluKI-melalui Malaysia Airlines dibeli pada 23hb Disember 2016,kurang daripada sebulan sebelum penerbangan ke Jeddah. Tapi,saya sering juga melihat harga penerbangan ini beberapa minggu sebelumnya. Ada tarikh yang mencecah lebih RM500. Bila mendapat harga yang rendah sedikit,terus sahaja saya beli melalui atas talian. Mungkin juga faktor perayaan Tahun Baru Cina yang terkena pada tarikh balik saya daripada Jeddah menjadikannya agak mahal sedikit.
Harga tiket penerbangan saya adalah (RM472.76),lebih mahal daripada tiket penerbangan pulang balik ke Jeddah.
9)Uber
-Menaiki 'Uber' serasa lebih baik daripada teksi atau kereta persendirian,terutama untuk jarak jauh. Kami menaiki 'Uber' sewaktu ke Jabal Rahmah yang agak jauh sedikit daripada Masjidil Haram. Juga,mengambil 'Uber' sewaktu ke Lapangan Terbang King Abdul Aziz semasa penerbangan balik. Kalau jarak yang dekat ke sesuatu tempat, boleh sahaja menaiki teksi tapi pastikan dahulu harganya sebelum menaiki kenderaan mereka.
Sekalipun kalian terlihat ianya adalah teksi bermeter, tiada teksi yang kami naiki menggunakan meter. 'Uber' pula ada beberapa kali yang membatalkan 'request' saya mungkin disebabkan jalanan yang sesak.
Sekiranya pemandu 'Uber' membatalkan permintaan kita,'Uber' akan menggantikan dengan pemandu yang lain. Kalaulah kita pula yang tidak bersetuju, caj 8Sr dikenakan pada kad bank seperti yang terkena pada saya kerana mengendahkan cadangan 'Uber' sewaktu di Madinah bila serasa lama menunggu. Kalian masih boleh aturkan cara mana yang sesuai. Boleh jadi,tanya dahulu harga ke destinasi anda kepada pemandu teksi ataupun persendirian,kemudian bandingkan dengan harga yang ditawarkan oleh 'Uber'.
Caj yang dikenakan pada saya adalah RM229.06. Disebabkan kami bertiga, harga ni kami bahagikan untuk mengetahui perbelanjaan setiap seorang. RM229.06÷ 3 = (RM76.3533).
10) Wang Tukaran
-Jumlah wang Ringgit Malaysia yang saya tukarkan ke wang Saudi Riyal(SR) adalah (RM1694)= SR1400. SR400 adalah untuk penginapan hotel bagi setiap seorang.
SR1000 pula adalah wang perbelanjaan saya sepanjang berada di Arab Saudi. Jumlah wang saku ini tergantung kepada diri masing-masing.
Bagi saya bayaran untuk makanan seharian, teksi, buah tangan sedikit,ambil peluang bersedekah, cukup. Ada lagi baki SR10 di dalam dompet saya.
11)Jumlah perbelanjaan peribadi:
-Ini keseluruhan perbelanjaan yang di atas. Kain ihram saya pinjam sahaja daripada abang saya yang telah melakukan umrah pada tahun sebelum. Buku panduan umrah pula,ada kawan saya berikan. Terima kasih :) Tapi saya pulangkan juga untuk kegunaan sesiapa lagi selepas ini.
RM400.90 + RM350 + RM160 + RM10 + RM10.50 + RM210 + RM472.76 + RM76.35 + RM1694
= RM3384.51.
Moga perkongsian ini memandu kalian yang berkeinginan melakukan umrah bersendiri. Masing-masing punya kelebihan,samada melakukan melalui pakej ataupun bersendirian. Perjalanan ini juga dibantu oleh kenalan-kenalan yang membuat umrah melalui pakej jika kalian membaca catatan saya sebelum ini.
Saya ada mengikuti kursus umrah pada 12hb November dengan meminta izin daripada pegawai bertugas dan menerangkan keadaan saya. Mereka membenarkan tanpa sebarang bayaran.
Berdoa juga supaya dipermudahkan segalanya. Saya hanya merancang,saya dan kawan-kawan hanya merancang,tapi Tuhan juga merancang. Dan perancangan Tuhan adalah lebih baik daripada segalanya.
Terima kasih kepada semua yang membantu dan mempermudah perjalanan umrah saya dan rakan-rakan. Terima kasih kepada rakan-rakan seperjalanan saya. Terima kasih kepada manusia-manusia baik yang saya temui. Hanya Allah sebaik-baik yang membalas kebaikan kalian.
Sumber: Fb. Abdul Razzaq
0 comments: